• 2025-09-27 10:36 AM

SARATOK: Seorang lelaki tempatan dan tiga warga Indonesia dilaporkan hilang selepas sebuah sampan membawa 10 pekerja karam ketika menyeberangi Sungai Krian semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika bot dalam perjalanan dari Jeti Sesang ke Jeti Pusa.

Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai manakala empat lagi masih belum dijumpai.

Mangsa tempatan yang hilang dikenali sebagai Mohd Asfar Sulaiman yang berusia 25 tahun.

Tiga mangsa warga Indonesia yang hilang pula ialah Gunawan Pawadi (35), Budianto Yapani (50), dan Karyono (41).

Enam warga Indonesia yang terselamat ialah Sandi Putra (26), Amirul (20), Tadin (50), Diki Sanjaya (22), Dwi Moko (39), dan Krisna (37).

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 6.13 petang.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dengan kekuatan empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 56 kilometer.

Pasukan operasi tiba di lokasi pada pukul 7.10 malam dan mendapatkan maklumat daripada mangsa yang selamat serta pihak syarikat.

Operasi mencari dan menyelamat akan dilancarkan pagi ini atas faktor keselamatan. – Bernama