KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sedang menyiasat kebocoran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) selepas ia tular di media sosial.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,“ katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan siasatan memberi tumpuan kepada pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman serta media sosial.
Mohd Khalid turut menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia.
“Sekiranya terlibat, individu berkenaan akan berdepan tindakan tegas,“ tegasnya.
Sebelum ini, satu laporan polis difahamkan telah dibuat berhubung kebocoran dokumen tersebut.
Minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lepas tular di Facebook dan aplikasi X, dipercayai bermula dari laman Reddit. – Bernama