KUALA LUMPUR: Seorang buruh warga asing berusia 50 tahun ditahan bersama dadah jenis methamphetamine seberat 20.85 kilogram, dianggarkan bernilai RM80,000, di kawasan pusat beli-belah di Taman Melawati, Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki itu ditahan ketika sedang berjalan kaki pada 12.35 tengah hari Sabtu lepas. “Pemeriksaan pada beg yang dibawanya menemui 20 peket plastik lut sinar berisi dadah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati lelaki itu telah menetap di Malaysia selama kira-kira 10 tahun. Ujian air kencing menunjukkan dia positif methamphetamine dan amphetamine, namun tiada rekod jenayah sebelum ini. Dadah yang dirampas itu mampu memenuhi keperluan kira-kira 20,850 penagih di Lembah Klang.
Suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.