• 2025-09-17 01:37 PM

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mewujudkan kerangka kawal selia bagi sektor ekonomi altitud rendah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan kerangka kawal selia itu sangat diperlukan untuk memajukan sektor baharu berkenaan sambil menjamin aspek keselamatan.

“Ekonomi altitud rendah adalah satu bidang baharu yang perlu dipelopori kerana ini juga sangat berkaitan dengan perkembangan ekonomi kita dan selari dengan misi serta visi kerajaan.”

Beliau menegaskan kawal selia mesti dilaksanakan oleh CAAM kerana industri baharu memerlukan kerangka yang jelas untuk berkembang terutama dalam bidang penerbangan.

Ekonomi altitud rendah merujuk kepada aktiviti ekonomi yang menggunakan ruang udara pada altitud rendah.

Ia merangkumi penggunaan kenderaan udara seperti dron dan pesawat untuk pelbagai tujuan termasuk perkhidmatan penghantaran dan teksi terbang.

Loke berkata CAAM akan mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mengawal selia sektor berkenaan bagi memastikan kemajuannya.

“Kalau kita terlalu mengawal selia, susah bagi mana-mana pemain industri untuk masuk dalam pasaran.”

Beliau turut memaklumkan CAAM akan mengkaji semula beberapa proses dan peraturan bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ‘pita merah’.

“Peraturan dan proses yang mungkin tidak mengikut peredaran zaman, CAAM perlu kaji semula dan jika perlu adakan pindaan dari semasa ke semasa.”

Pelantikan baharu pasukan pengurusan CAAM akan dilakukan secara berperingkat untuk memastikan calon paling layak dipilih.

Jawatan yang perlu diisi termasuk Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Ekonomi) CAAM.

Loke menyaksikan pelancaran logo dan identiti korporat baharu CAAM yang selari dengan peranan baharunya sebagai pengawal selia tunggal.

Penggabungan CAAM dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkuat kuasa pada 1 Ogos lepas.

CAAM kini mengambil alih pengawalseliaan ekonomi, persaingan serta perlindungan pengguna selain aspek teknikal dan keselamatan. – Bernama