• 2025-08-09 10:07 PM

SHAH ALAM: Cabaran dalam membina institusi keluarga pada hari ini semakin berubah seiring dengan kemajuan teknologi sekali gus menuntut kesedaran sewajarnya daripada semua pihak, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata teknologi telah mengubah cara hidup masyarakat dunia termasuk cara bekerja dan berhubung yang boleh mendatangkan kesan buruk sekiranya tiada bimbingan serta kesedaran membabitkan generasi muda.

“Tanpa bimbingan dan kesedaran sewajarnya, teknologi secara tidak langsung boleh mewujudkan jarak, melemahkan hubungan malah mendatangkan risiko kepada anak-anak dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Jubli Emas Persatuan Malayalee Seluruh Malaysia (AMMA) Ke-50 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B N Reddy, Penaung AMMA Tan Sri Ravindran Menon dan Presiden AMMA Dr Manohur Kurup.

Dr Wan Azizah berkata walaupun sibuk dengan urusan seharian, setiap daripada ibu bapa tidak boleh lupa bahawa keluarga adalah sekolah pertama dan institusi terpenting dalam kehidupan kanak-kanak.

“Membina hari esok yang lebih baik bermula dengan cara kita membesarkan anak-anak hari ini dan ia bermula dari rumah.

“Jadi, walau apa keadaan kita mesti sentiasa mengutamakan keluarga dalam setiap perkara yang kita lakukan,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata AMMA boleh dijadikan contoh menerusi peranan cemerlangnya yang berjaya membina sistem sokongan untuk generasi muda dan komuniti.

Beliau berkata sejak penubuhannya, AMMA telah memupuk kecemerlangan akademik, membina integriti dan sahsiah serta memperkasakan warganegara yang bersedia menyumbang kepada negara.

“Ini adalah intipati sebenar Malaysia MADANI, membina masyarakat yang penyayang, inklusif dan berasaskan nilai-nilai murni,“ katanya.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan anugerah kepada barisan kepimpinan AMMA yang telah mencurahkan bakti sepanjang 50 tahun penubuhannya - BERNAMA