KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mencadangkan pembinaan sebuah balai bomba baharu di Chiku, Gua Musang bagi meningkatkan kecekapan operasi menyelamat, terutamanya melibatkan kemalangan jalan raya di laluan berisiko tinggi antara Gua Musang-Kuala Krai.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata cadangan itu telah dikemukakan untuk perancangan tahun hadapan memandangkan lokasi Chiku yang strategik di tengah laluan sejauh 117 kilometer itu. Beliau yakin langkah ini dapat mempercepatkan masa respons sekiranya berlaku kecemasan.
“Kita ambil iktibar daripada insiden kemalangan di Jalan Jeli-Gerik baru-baru ini yang melibatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kini kita pula bimbang risiko kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Jika berlaku kemalangan di kawasan Chiku atau Galas, balai terdekat sama ada dari Gua Musang, Kuala Krai atau Dabong memerlukan masa yang agak lama untuk tiba, sekali gus boleh melambatkan operasi menyelamat,” katanya.
Farhan menjelaskan bahawa walaupun kepadatan penduduk di Chiku agak rendah dan pembangunan di kawasan itu sederhana, ia tetap merupakan laluan utama bagi pengguna jalan raya menuju Kota Bharu. Hal ini menyebabkan risiko kemalangan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau turut menyatakan bahawa kawasan itu kini tidak mempunyai pasukan bomba sukarela, menyebabkan ia bergantung sepenuhnya kepada balai bomba sedia ada yang jaraknya jauh.
“Cadangan pembinaan balai ini telah pun diangkat ke peringkat tertinggi sebelum ini dan tahun ini kita kemukakan semula dengan harapan ia mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan. Jika diluluskan, ia akan menjadi balai bomba yang ke-23 di Kelantan dan berperanan penting memperkukuh kesiapsiagaan JBPM dalam memberi perlindungan serta bantuan kecemasan kepada masyarakat,” katanya -Bernama