KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun wajar diberi perhatian dan pertimbangan namun memerlukan kajian secara menyeluruh terlebih dahulu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebelum sebarang keputusan dibuat, cadangan itu perlu dibincang terlebih dahulu di peringkat kementerian dan seterusnya dibentang kepada Jemaah Menteri.

“Kita belum bawa ke Kabinet. Biar mereka kaji implikasinya, kewangan, peluang pekerjaan baharu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Hadiah Bahasa Public Bank - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr Anwar Ridhwan serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Berhad Datuk Sulaiman Abdul Manap.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbang untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.

Azalina, yang menyuarakan pandangan peribadi berhubung perkara itu, berkata adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.

Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam ketika ini ditetapkan pada usia 60 tahun yang juga adalah usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.