BEIJING: China melaksanakan kawalan eksport ke atas nadir bumi dan barangan berkaitan mengikut undang-undang, sejajar dengan amalan antarabangsa.
Jurucakap Kementerian Luar Lin Jian menyatakan perkara itu sebagai mengulas kenyataan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer.
Greer berkata sama ada tarif tambahan 100% ke atas barangan China akan berkuat kuasa pada 1 November atau lebih awal bergantung kepada tindakan China.
Beliau juga mendakwa pegawai China mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai sekatan eksport nadir bumi yang terbaharu.
Lin menjelaskan pihak berkuasa China telah menerangkan pendirian mereka berhubung langkah kawalan eksport terhadap nadir bumi dan barangan berkaitan.
Beliau menyatakan langkah itu diambil bagi menjaga keamanan dunia dan kestabilan serantau.
Langkah kawalan eksport juga memenuhi obligasi antarabangsa termasuk kawalan penyebaran senjata.
“Pendirian China adalah konsisten dan jelas,” kata Lin.
Beliau berkata Amerika Syarikat yang meminta perbincangan namun dalam masa sama mengugut dengan tarif tinggi dan sekatan baharu.
Lin menegaskan pendekatan sedemikian tidak wajar dalam menangani hubungan dengan China.
China menggesa AS agar membetulkan pendekatan yang salah itu secepat mungkin.
Negara itu juga menyeru penyelesaian isu berkaitan melalui dialog serta perundingan.
Penyelesaian perlu berdasarkan prinsip kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama. – Bernama-Xinhua