• 2025-08-17 02:52 PM

KUALA LUMPUR: Bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong menyambut baik pelantikan legenda badminton Malaysia Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau berkata pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu memiliki ramuan terbaik untuk terus memacu kemajuan badminton negara.

Boon Heong berharap BAM memberi ruang serta kebebasan kepada Chong Wei untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

“Kalau Datuk Seri Chong Wei masuk BAM memang saya rasa boleh tolong BAM. Tapi kalau beliau sekadar datang untuk masuk meeting bagi saya ia satu pembaziran.

“Kita kena bagi beliau kebebasan dan kuasa untuk buat apa yang beliau mahu sebab saya rasa beliau tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pelantikan Chong Wei sebagai seorang daripada ahli majlis baharu BAM.

Pelantikan ini menandakan kemunculan semula Chong Wei dalam arena badminton negara, selaras dengan visi BAM menjadikan Malaysia kuasa besar badminton dunia.

Selain Chong Wei, Zafrul berkata pihaknya turut bersetuju melantik tiga tokoh korporat terkemuka.

Mereka ialah Pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Gooi Hoe Soon (Kewangan), bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTV7 Datuk Seri Shazalli Ramly (Penjenamaan dan Strategi Media), dan Peguam Datuk Sunil Abraham (Perundangan). - Bernama