LANGKAWI: Akademi Sains Malaysia (ASM) menerusi Inisiatif ArtScience™ melancarkan naskhah buku mewah berjudul “Cosmic Connections: Langkawi” bagi memperkenalkan astropelancongan di pulau legenda itu.

Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata buku diterbitkan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu memaparkan koleksi gambar hasil cerapan langit di pulau pelancongan tersohor itu.

“Inisiatif ArtScience™ ASM sejak diperkenalkan pada 2019 semakin mendapat perhatian pihak berkepentingan dalam mempromosikan sains dan seni sebagai kesepaduan ilmu bagi menarik minat orang ramai ke arah subjek sains.

“Bersama LADA, usaha ini turut memperlihatkan bagaimana Rangka Kerja 10-10 MySTIE oleh ASM boleh diguna pakai untuk memperkasa pengetahuan pengunjung mengenai keunikan alam semula jadi sambil turut menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk komuniti setempat,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Rimba Sky Ambong-Ambong di sini, malam tadi.

Menurut Tengku Mohd Azzman Shariffadeen lagi buku setebal 100 halaman itu turut memuatkan puisi-puisi khas dan lakaran artistik bertemakan kosmos.

Katanya penghasilan buku tersebut diketuai oleh Felo Kanan ASM yang juga Pengerusi Inisiatif ArtScience™ ASM, Prof Emerita Tan Sri Dr Mazlan Othman manakala penulis bersama ialah Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh yang menyumbang puisi khas.

Selain itu artis kontemporari Prof Madya Dr Jalaini Abu Hassan menyumbangkan lakaran artistik bertemakan kosmos dengan teknik bitumen dan akrilik dalam buku yang juga boleh dicapai di laman https://www.akademisains.gov.my/asm-publication/cosmic-connections-langkawi/ serta http://catalog.lada.gov.my/books/ezvr/.

Pengurus Pelancongan LADA Dr Azmil Munif Mohd Bukhari berkata ASM dan LADA telah bekerjasama sejak 2021 bagi menerbitkan buku tersebut, sebagai salah satu inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pelancongan LADA 2020-2021.

Menurutnya koleksi gambar angkasa yang dimuatkan dalam naskhah tersebut diperoleh di Observatori Negara Langkawi (ONL), yang merupakan satu daripada balai cerap di negara ini.

“ONL menyediakan fasiliti pencerapan bertaraf antarabangsa bagi penyelidikan dalam bidang astronomi optikal dan lokasinya di Khatulistiwa membolehkan ia mencerap objek astronomi di langit hemisfera utara mahupun selatan.

“Pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) juga merujuk kepada ONL bagi mendapatkan koleksi gambar angkasa yang sangat jarang didapati,“ katanya.

Menurut beliau “Cosmic Connections: Langkawi” memberi nilai tambah kepada promosi dan pemasaran Langkawi daripada perspektif gabungan keindahan angkasa, puisi dan lakaran artistik.

“LADA akan melakukan publisiti dan hebahan sewajarnya dalam mempromosikan Langkawi sebagai satu daripada destinasi cerapan angkasa terbaik di Malaysia sekali gus menggalakkan kehadiran pelancong ke Langkawi,“ katanya.

Sementara itu Mazlan berkata beliau mengalu-alukan pelbagai pihak untuk bersama Inisiatif ArtScience™ ASM bagi menjadikan sains lebih menarik dengan pengaruh seni yang membawa kepada objektif bermakna untuk alam sekitar dan rakyat.

“Inisiatif ArtScience™ ASM bertujuan untuk memupuk kreativiti terhadap penyatuan seni dan sains. Saya harap kerjasama seumpama ini mampu mengembangkan pengaruh ArtScience Malaysia di rantau asia dan global,“ katanya.–Bernama