PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memantau semua lapangan terbang bagi mengesan kemungkinan aktiviti ‘counter setting’ di pintu masuk negara, kata Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata tumpuan bagaimanapun dikhususkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memandangkan ia adalah pintu masuk utama bagi warga luar berbanding di negeri lain.

“...cuma kita lihat yang paling besar di KLIA sebab itu kita tumpukan di KLIA kerana lapangan terbang tersebut merupakan pusat kemasukan pihak luar.

“Mungkin ada kegiatan itu di tempat lain kerana ada negeri contohnya Johor mempunyai pintu masuk yang perlu melalui pemeriksaan imigresen, jadi pemantauan juga dibuat (di negeri lain),“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi Peringkat Negeri di sini hari ini.

SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi counter setting.

Ditanya mengenai perkembangan kes 1BestariNet, Azam berkata siasatan berkaitan masih lagi dilaksanakan dan belum selesai.

“Seperti yang saya sebutkan, saya tangguhkan dahulu pengumuman apa yang patut, tunggu hingga pegawai saya selesai menjalankan siasatan,“ katanya.

SPRM sebelum ini memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

Pada 18 Okt, Azam dilaporkan berkata SPRM turut meneliti isu tatakelola dalam siasatan terhadap projek 1BestariNet sebelum memanggil beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu siasatan.