PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan berikutan pengumuman penting Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20.
Antara inisiatif yang diumumkan ialah kelonggaran syarat mengerjakan haji bagi penjawat awam yang belum disahkan jawatan.
Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat menyatakan langkah ini memberi manfaat kepada penjawat awam yang telah mendapat giliran haji tetapi belum disahkan dalam jawatan.
“Yang pertamanya ialah dari segi mengerjakan haji penjawat awam telah pun dilonggarkan syarat untuk boleh pergi mengerjakan haji walaupun tanpa disahkan jawatan.”
“Ini kerana kita dapati ramai penjawat awam yang telah mendapat giliran hajinya tetapi pada masa sama tidak sah dalam jawatan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Adnan menegaskan keputusan ini adalah hasil permohonan CUEPACS dan disambut baik kerana memberi peluang lebih awal untuk menunaikan ibadat haji.
Selain itu, kerajaan turut meneruskan program pembelajaran sepanjang hayat melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hingga 2026 dengan peruntukan maksimum RM15,000.
“Ini memberi peluang kepada anggota perkhidmatan awam untuk terus (mengikuti) pembelajaran sepanjang hayat ataupun menambah dari segi kemahiran termasuk pembelajaran yang lebih tinggi supaya mereka mampu memberi perkhidmatan lebih baik.”
“Sehingga 2026, peluang lebih besar akan diberikan kepada penjawat awam untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka, termasuk menaik taraf pensijilan yang diperoleh,” jelasnya.
Adnan turut memuji pengumuman hadiah pengiktirafan akademik sekali beri kepada penjawat awam yang melanjutkan pelajaran secara usaha sendiri.
“Walaupun secara sekali beri, amat terharu kerana pengiktirafan dan susah payah penjawat awam yang belajar secara sendiri, kos sendiri dan komitmen tinggi... telah diberi pengiktirafan oleh kerajaan dalam bentuk hadiah pengiktirafan ini.”
Hadiah tersebut bernilai RM500, RM1,000 dan RM1,250 bergantung pada tahap kelayakan.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa penjawat awam perlu berubah atau ketinggalan, Adnan menekankan pentingnya transformasi budaya kerja.
“Penjawat awam hendaklah sentiasa melakukan perubahan kerana seluruh dunia telah berubah dan kalau kita gagal untuk berubah, sudah pastilah kita ketinggalan.”
Beliau menambah bahawa perubahan berterusan akan memastikan perkhidmatan awam kekal relevan dan efisien dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat - Bernama