KUALA LUMPUR: Dakwaan mengaitkan guru sebagai penjawat awam yang paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC) adalah tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi negatif terhadap profesion keguruan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata isu itu tidak sepatutnya berbangkit dan pada waktu ini terdapat lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.

“Tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat. Kementerian juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat, dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan.

Beliau berkata pihak kementerian mengambil serius laporan media baru-baru ini yang mengaitkan guru sebagai penjawat awam paling ramai memalsukan sijil cuti sakit.

Fadhlina berkata kerajaan MADANI menghargai peranan penting guru membangunkan negara dan sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam Ogos lepas.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru.

“KPM tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan. Profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Isnin lepas media melaporkan pendedahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dengan perbuatan memalsukan sijil cuti sakit.

Open Two Websites with Image

Clickable Image