TUARAN: Dasar mesra pelabur yang diperkenal kerajaan Sabah menampakkan hasil positif apabila kini menerima kehadiran ramai pelabur tempatan dan luar negara dalam pelbagai sektor.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata itu menunjukkan Sabah berada pada landasan betul untuk memajukan negeri melalui inisiatif strategik di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.

“Misalnya, pada hari ini, kita dapat melihat syarikat dan restoran ternama McDonald’s Malaysia sekali lagi berkunjung ke Sabah untuk perasmian restoran mereka yang terbaru dan juga mengumumkan perancangan perniagaan di negeri ini.

“Usaha ini bukan sahaja dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian restoran McDonald’s Pandu-Lalu Tuaran Town di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar.

Sabah menerima pelaburan bernilai RM11.34 bilion pada tahun lepas, sekali gus menjadikannya negeri ketujuh meraih pelaburan tertinggi di negara ini.

Hajiji berkata kerajaan Sabah turut mengalu-alukan usaha sama antara syarikat francais dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi meneroka potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri.

Pembukaan McDonald’s Pandu-Lalu Tuaran Town menjadikan jumlah restoran McDonald’s Malaysia yang beroperasi di Sabah sebanyak 22 dengan kira-kira 800 kakitangan setakat ini.

Ini seiring dengan komitmen syarikat itu untuk membuka 36 restoran di seluruh negeri.