• 2025-07-03 02:31 PM

CYBERJAYA: Dasar Speed Selangor akan dilancarkan pada Oktober 2025 sebagai inisiatif mempercepatkan proses kelulusan perniagaan dan pelaburan di negeri ini. Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata dasar ini akan merangkumi enam hingga tujuh jenis kelulusan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan semua pihak.

Pelancaran rasmi dijadualkan sempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2025. Amirudin menjelaskan bahawa dasar ini merupakan gabungan program sedia ada PBT termasuk express green approval yang sebelum ini diuruskan secara berasingan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang 2035.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, semua pegawai akan dilatih untuk mengurangkan tempoh kelulusan. Sebagai contoh, proses yang biasanya mengambil masa dua bulan boleh dipendekkan menjadi satu bulan.

Amirudin turut berhasrat memperluaskan skop dasar ini bagi merangkumi urusan berkaitan aduan awam seperti pengubahsuaian rumah. Beliau menekankan bahawa Speed Selangor akan memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat.

Selain itu, dasar ini turut memberi fokus kepada penambahbaikan prosedur sedia ada untuk menjadikan urusan lebih cekap bagi pelabur dan pemaju.

Mengenai isu tapak pembuangan sampah haram, Amirudin menegaskan perlunya tindakan bersepadu termasuk penguatkuasaan undang-undang lebih ketat seperti rampasan, denda, dan tindakan tegas terhadap pemilik tanah serta pengusaha terlibat.