• 2025-07-24 04:39 PM

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 1,009 aduan awam berkaitan kenderaan buruk atau terbiar dari Januari hingga Mei 2025.

Daripada jumlah itu, 992 aduan telah diselesaikan manakala 17 kes masih dalam siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, Segambut mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu 163 kes, diikuti Seputeh (143), Setiawangsa (113), dan Bukit Bintang (81).

“Jabatan Penguatkuasaan DBKL menguruskan kesemua kenderaan berkenaan dengan mengangkut ke tiga depoh khas iaitu Depoh Taman Connaught, Depoh Pantai Sentral, dan Depoh Jalan Emas,“ jelasnya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menekankan bahawa DBKL sedang mempercepatkan proses pelupusan kenderaan tidak dituntut melalui pewartaan.

Namun, proses ini memerlukan masa kerana pihak berkuasa perlu memastikan tiada tuntutan daripada pemilik atau waris.

“Penyelesaian sebenar adalah apabila semua pemilik kenderaan buruk atau terbiar memainkan peranan dalam melupuskan kenderaan mereka sendiri,“ kata Dr Zaliha.

DBKL juga mendapati semakin banyak kenderaan ditinggalkan tanpa tuntutan, terutamanya melibatkan kes kematian pemilik tanpa waris, kenderaan tidak dituntut dari bengkel, atau disimpan atas alasan sentimental.

Sebagai alternatif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan sistem e-Dereg yang membolehkan pemilik membatalkan pendaftaran kenderaan secara atas talian.

“Sistem ini memudahkan proses kerana pemilik tidak perlu hadir di pejabat JPJ. AATF akan menanggung kos angkut dan pelupusan, dan proses selesai dalam masa kurang sejam,“ jelas Dr Zaliha. – Bernama