KEPALA BATAS: Polis mengesahkan rakaman video memaparkan kejadian penderaan seorang kanak-kanak lelaki yang tular menerusi media sosial adalah kes berlaku Februari lepas dan suspek terlibat telah didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati video berdurasi enam saat itu ditularkan semula dan semakan mendapati kes itu telah disiasat oleh polis sebelum ini.

“Pada 2.20 petang 27 Feb lepas, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah SPU telah menerima satu laporan berkaitan penderaan tehadap seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

“Tangkapan telah dibuat terhadap suspek yang juga bapa kandung mangsa dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek telah didakwa di Mahkamah Butterworth pada 4 April dan telah dijatuhkan hukuman pada 25 Julai iaitu denda RM12,000.

Anuar sehubungan itu menyeru orang ramai agar tidak mensensasikan kes itu sehingga mengganggu kententeraman awam memandangkan kes telah selesai selain suspek telah dijatuhkan hukuman.

Tular menerusi laman sosial video berdurasi enam saat memaparkan seorang lelaki memukul belakang kanak-kanak yang hanya memakai baju tanpa seluar sebelum suspek menekap muka kanak-kanak terbabit ke tilam sehingga kanak-kanak itu menangis.

Kejadian telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap lelaki itu.