KUALA LUMPUR: “Diplomasi panda” yang mempereratkan hubungan dua hala Malaysia dan China telah membawa tuah melalui beberapa pengiktirafan kepada Malaysia, selain mengharumkan nama Zoo Negara.

Melalui kehadiran panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan China kepada Malaysia pada 21 Mei 2014 sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, pasangan itu kemudiannya melahirkan tiga anak iaitu Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi pada 14 Jan 2018 dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.

Pasangan Fu Wa dan Feng Yi, yang dilahirkan pada 23 Ogos 2006 di Pusat Panda Wolong, Sichuan, China, telah dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dalam satu pertemuan bersama Bernama baru-baru ini berkata kelahiran tiga ekor anak panda itu, di negara ini merupakan satu rekod dunia.

Menurut Rosly, kebanyakan mamalia itu seperti di Singapura dan Thailand tidak dilahirkan secara semula jadi.

“Anak panda yang lahir di sini membawa nama baik kepada Zoo Negara sebab dalam masa singkat iaitu hanya setahun Nuan Nuan dilahirkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara.

“Kita bangga bukan sahaja kerana terpantas di dunia malah dapat tiga ekor dalam tempoh 10 tahun ia merupakan satu rekod terbaik dunia,” katanya.

Rosly berkata melihat kepada kejayaan yang direkodkan itu serta kesungguhan pasukan petugas GPCC memastikan mamalia itu dijaga sebaik mungkin, kerajaan China turut mengiktiraf Zoo Negara sebagai antara penjaga panda gergasi terbaik dunia.

“GPCC bernilai RM25 juta berjaya disiapkan dalam tempoh sembilan bulan demi memastikan panda yang bakal ditempatkan berada di lokasi yang hampir sama seperti di negara asalnya.

“Kerajaan China turut memuji kemudahan yang ada di GPCC serta kepakaran petugas sebagai antara yang terbaik di dunia,” katanya sambil menambah rata-rata pengunjung dari China turut melahirkan rasa kagum melihat kemudahan di lokasi itu.

Ditanya mengenai “rahsia” panda gergasi berjaya melahirkan anak di Malaysia dalam keadaan perbezaan lokasi dan cuaca berbanding China, Rosly tidak menolak kemungkinan mamalia itu selesa berada di GPCC.

“Liang Liang juga sebelum ini sudah mempunyai anak, jadi mamalia itu sememangnya sudah subur. Selain itu kedua-dua ekor panda yang berada di GPCC kelihatan amat selesa dan seronok di lokasi itu,” katanya.

Mengimbau kembali proses kelulusan untuk meminjam kedua-dua panda itu, Rosly berkata ia diperoleh dalam tempoh amat singkat iaitu hanya dua bulan.

“Nak dapatkan kelulusan memerlukan tidak kurang antara enam ke lapan tahun, sebagai contoh Amerika Syarikat perlu 30 tahun, Thailand enam hingga tujuh tahun manakala Indonesia perlu tunggu lapan tahun.

“Namun kerana hubungan Malaysia sangat rapat selepas kita mohon dalam tempoh dua bulan diluluskan,” katanya.

Rosly turut melahirkan rasa syukur kerana kehadiran panda gergasi itu telah menyebabkan Zoo Negara menjadi tumpuan ramai pengunjung seterusnya membantu kutipan jualan tiket.

“Sebelum 2014, rakyat Malaysia yang ingin tengok panda secara dekat perlu berbelanja besar sama ada pergi ke Singapura atau China.

“Jadi apabila Xing Xing dan Liang Liang tiba memang ramai yang datang ke Zoo Negara untuk melihat panda secara dekat. Ia berlarutan dalam tempoh dua hingga tiga tahun sehingga kita terpaksa mengehadkan tempoh masa dan jumlah pengunjung di GPCC ketika itu,” katanya.

Ditanya mengenai status kontrak panda gergasi itu yang akan tamat akhir bulan ini, Rosly berkata pihak Zoo Negara masih belum dimaklumkan sama ada perjanjian itu akan disambung atau tidak.

Namun Rosly berkata dengan pengalaman hampir 10 tahun, petugas di GPCC Zoo Negara sentiasa bersedia sekiranya kontrak itu disambung.

“Tetapi kontrak tidak boleh disambung lama sangat kerana Xing Xing dan Liang Liang sudah berusia 18 tahun.

“Kebiasaannya jangka hayat panda yang hidup bebas di dalam hutan di bawah 20 tahun manakala panda yang dipamerkan boleh mencecah usia 25 tahun,” katanya.