• 2025-08-01 02:09 PM

BUKIT MERTAJAM:Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan memalsukan borang pendaftaran pekerja domestik, tiga tahun lepas.

Dr Winnie Ong Beng Cheen, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Doktor wanita itu didakwa memperdaya PERKESO untuk mempercayai bahawa borang pendaftaran pekerja domestik yang ditandatangani oleh seorang lelaki Cheah Chyuan Yong adalah benar.

Tertuduh dengan sengaja mendorong PERKESO untuk mendaftar pekerja domestik warganegara Indonesia Nurhayati Hasan, menyebabkan Cheah diperdaya membuat caruman sebanyak RM20.60 sebulan.

Kesalahan didakwa berlaku di No 22A, Jalan Mesra, Taman Saujana Permai, Bukit Mertajam pada 21 Nov, 2022 dan kes dikemukakan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala peguam tertuduh Chiang Kian Hong memohon mahkamah menetapkan jaminan yang minimum.

Nurul Rasyidah kemudian menetapkan 4 September ini untuk serahan dokumen dan membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin- BERNAMA