Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengeluarkan statistik indikator kos sara hidup mengikut daerah untuk dijadikan rujukan dalam penggubalan dasar dan keputusan kerajaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan tersebut juga akan membolehkan rakyat mengambil tahu mengenai kos sara hidup di kawasan masing-masing selain mendekatkan rakyat dengan data dan statistik merangkumi kehidupan seharian mereka.

“Kehidupan rakyat berteraskan kepada statistik yang akhirnya mendapat manfaat apabila program-program dilaksanakan kerajaan berpaksi kepada angka yang relevan dengan mereka,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2024 dan Prapelancaran Laman Statistik di sini, hari ini.

Mohd Uzir bekata Hari Statistik Negara 2024 yang disambut hari ini antara lain bertujuan memberi peluang kepada orang ramai melihat kepentingan statistik dan perkhidmatan yang diterajui oleh DOSM.

“Kita ingin melihat statistik yang dikeluarkan DOSM dapat diserap oleh orang ramai selain berhasrat penggunaan statistik ke arah membangunakan sebuah negara maju dapat juga dimanfaatkan,” katanya.

Beliau berkata Hari Statistik Negara 2024 yang diadakan bersekali dengan sambutan Jubli Intan ke-75 tahun DOSM dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”.

Katanya, DOSM menganjurkan pelbagai program sepanjang sambutan itu bagi mempromosikan statistik dan memberi penghargaan kepada komuniti antaranya Forum Perdana, Debat Statistik, aktiviti larian, pertandingan mewarna, pertandingan gubahan aktiviti bersama komuniti setempat.

“Selama tempoh dari 2017 hingga tahun ini, sambutan ini telah berkembang dan mengalami satu proses kematangan dengan kepelbagaian aktiviti namun tetap memberikan impak yang mendalam terhadap semua pihak berkepentingan.

“Ia akan memberi impak ketara kepada inisiatif DOSM untuk memastikan budaya statistik dapat memberikan manfaat kepada pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,“ katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Mohd Uzir turut mengumumkan bahawa DOSM dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya telah mendirikan Laman Statistik di sini sebagai satu daripada medium hebahan secara santai dalam meliterasikan statistik kepada masyarakat umum.