• 2025-08-24 05:50 PM

NIBONG TEBAL: Dua beradik yang terlibat dalam kemalangan ngeri bersama neneknya di Sungai Bakap menerima sebuah unit Rumah MutiaraKu Jenis A bernilai 42,000 ringgit di Bandar Tasek Mutiara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S Sundarajoo berkata rumah itu didaftarkan atas nama neneknya, M Amartham sebagai pemegang amanah sebelum dipindahkan sepenuhnya kepada M Darshan, 7, dan M Kavarjitha, 5, apabila mereka mencecah umur 18 tahun.

Beliau berkata rumah kos rendah berkenaan ditawarkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Prestasi dan Pencapaian Perumahan pada 25 Julai lepas, dan ia mengambil kira syarat-syarat permohonan ditetapkan kerajaan negeri.

“Unit ini direka mesra OKU, terletak di tingkat pertama serta dilengkapi dengan lif dan laluan khas kerusi roda untuk memudahkan pergerakan,” katanya dalam kenyataan selepas menyerahkan surat tawaran rumah kepada sekeluarga itu.

Dalam kemalangan itu, Darshan mengalami kecederaan serius pada tangan kiri yang kini tidak dapat digunakan manakala adiknya Kavarjitha kehilangan kaki kanan akibat digilis lori berkenaan dan neneknya turut cedera di bahagian kepala.

Sundarajoo berkata sebuah tabung khas telah diwujudkan di bawah kawal selia Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Beliau berkata hasil sokongan masyarakat dan kempen kutipan dana tersebut melalui media sosial telah berjaya mengumpulkan 222,024 ringgit, setakat 19 Ogos.

“Saya telah mencadangkan agar 42,500 ringgit daripada kutipan digunakan untuk membeli sebuah unit Rumah MutiaraKu Jenis A di Projek Rumah Pangsa Mutiara Indah, Fasa 4 (Blok D), Bandar Tasek Mutiara, Seberang Perai Selatan.

“Baki kutipan dana pula diletakkan di bawah kawalan sebuah ‘Trustee’ dengan sejumlah 1,500 ringgit sebulan disalurkan kepada nenek mereka untuk menjaga kebajikan dua beradik hingga mereka berumur 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata bantuan kewangan bulanan serta peruntukan rumah mampu milik itu merupakan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada rakyat terpinggir, khususnya golongan rentan dan berharap ia memberi sinar baharu kepada mereka untuk membesar dalam suasana lebih selesa dan selamat. – Bernama