KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki di Kampung KL Tin, Kalumpang, Kuala Kubu Bharu semalam kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah sejak Disember tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata suspek berusia 43 dan 31 tahun yang bekerja sebagai buruh itu, ditahan dalam sebuah kereta jenis Protos Saga pada 8.20 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Beliau berkata polis turut menemukan tujuh bungkusan kerajang plastik berwarna kekuningan yang berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan jumlah berat 6,276 gram.

Jumlah itu katanya boleh dibekalkan kepada 12,552 orang.

“Nilai rampasan dadah berjumlah RM22,000 dan dadah yang dirampas dipercayai untuk dipasarkan di sekitar daerah Hulu Selangor,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata kedua-dua suspek positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Mereka ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image