the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, June 26, 2026
28.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Dua keldai akaun wanita ditahan, mangsa kerugian RM39,650

BALIK PULAU: Polis menahan dua wanita dipercayai menjadi keldai akaun kepada dua sindiket penipuan menyebabkan kerugian RM39,650 dalam kejadian berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata dalam kes pertama, polis menahan seorang wanita berusia 32 tahun semalam kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam urusan mendapatkan perkhidmatan pembersihan rumah secara dalam talian yang tidak wujud di Bayan Lepas, di sini.

“Wanita itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya selepas pihak polis menerima laporan daripada pengadu yang telah memuat turun aplikasi ‘Home Solution’ melalui pautan yang telah diberikan oleh sindiket itu untuk mendapatkan perkhidmatan pembersihan.

“Seterusnya mangsa memasukkan butir-butir peribadi termasuk maklumat perbankan sebelum dia menyedari telefon bimbitnya telah berfungsi dengan sendirinya dan ekoran berasa curiga, mangsa telah membuat semakan akaun bank melalui komputer riba dan mendapati wang dalam akuannya telah berkurangan sebanyak RM30,650,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata bagi kes kedua, polis menahan seorang wanita berusia 51 tahun kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam urusan mengambil anak angkat melalui aplikasi TikTok secara dalam talian yang tidak wujud di Balik Pulau.

Berdasarkan siasatan, Kamarul Rizal berkata mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank diberikan sindiket itu yang membabitkan jumlah keseluruhan RM9,000, tetapi tidak mendapat anak angkat seperti dijanjikan.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu selepas menyedari telah menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan, tambah beliau.

“Kedua-dua wanita itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,“ katanya sambil menambah bahawa polis juga giat mengesan sindiket penipuan yang terlibat dalam dua kes itu.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Venezuela earthquake rescue efforts hampered as death toll rises to 235

Buildings cracked, crumbled, and tilted precariously after the quakes,...

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings