KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan yang dipandu secara melulu dalam kejadian berhampiran pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang melihat kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios telah keluar dari tempat letak kereta pusat hiburan berdekatan dan melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan lebih kurang dua orang mengalami kecederaan dan seorang daripada mangsa sudah dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans.

“Kesemua mangsa masih belum membuat laporan polis. Pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,“ katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Semalam, tular video berdurasi 48 saat menerusi satu akaun Facebook memaparkan dua kenderaan dilihat dengan sengaja merempuh sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan.

Seorang lelaki dilihat tercampak selepas dirempuh Toyota Hilux, manakala sebuah lagi kenderaan turut merempuh lebih ramai individu yang berkumpul di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob ketika dihubungi memaklumkan siasatan awal mempercayai kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kumpulan suspek dan kumpulan mangsa semasa berhibur di sebuah kelab berhampiran.

Beliau berkata setakat ini, empat lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadap mereka akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.