• 2025-07-31 01:00 PM

SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditahan atas kesalahan mencuri aset milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar daerah Kuala Muda. Kedua-dua suspek, berusia 24 dan 27 tahun, merupakan anggota Geng Ali dan ditahan pada 23 Julai lepas menerusi Op Pintu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata, kes ini melibatkan kecurian kad kabinet TM yang menyebabkan gangguan perkhidmatan Streamyx. “Kita menerima aduan mengenai peningkatan kes kecurian aset TM. Ini kes pertama yang melibatkan kad kabinet TM,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Polis turut merampas 29 kad kabinet TM (Streamyx) dan satu kotak kad kabinet TM. Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kesalahan lain. Modus operandi mereka menyasarkan kawasan pencawang TM yang terletak di tepi jalan kerana mudah dicuri dan dijual ke premis barang lusuh.

“Kegiatan kumpulan ini menyebabkan TM kerugian kira-kira RM80,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,“ jelas Hanyan.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki warga Myanmar berusia 59 tahun ditahan di Simpang Ampat, Pulau Pinang, semalam. Suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan rakan senegara pada 20 Julai lepas.

“Polis menahan suspek menerusi Op Kejam selepas 10 hari memburu. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,“ kata Hanyan. Selain itu, 22 warga asing turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah- Bernama