KOTA TINGGI: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat kejadian samun dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki warga asing di sebuah pasar mini di Taman Kota, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata suspek yang masing-masing berusia 25 dan 26 tahun ditangkap di lokasi berbeza di sini kurang sejam selepas laporan diterima pada 8.30 malam.

Beliau berkata pihaknya merampas daripada kedua-dua lelaki itu antaranya satu pisau pemotong daging, wang tunai RM284, seluar jean, motosikal jenis Honda C100 dan topi keledar.

“Ujian air kencing mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah.

“Mangsa pula mengalami cedera ringan dengan luka di tangan kanan dan kepala akibat pergelutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata kedua-duanya kini direman hingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.