• 2025-07-24 09:01 PM

SANDAKAN: Dua lagi pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan RM200,000.

Kes ini didakwa melibatkan penerimaan rasuah daripada beberapa kontraktor sejak 2022 sebagai balasan untuk mendapatkan projek membaik pulih infrastruktur.

Majistret Yong Ching Hong mengeluarkan perintah reman sehingga 28 Julai selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber menyatakan, siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki dan wanita berumur 20 dan 30-an, disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut.

“Penahanan kedua-dua suspek adalah susulan lima tangkapan sebelum ini.”

Mereka dipercayai menerima wang rasuah sekitar RM200,000 melalui pemindahan wang ke akaun bank peribadi daripada kontraktor bagi kerja-kerja membaik pulih laluan pejalan kaki, pagar, dan pembinaan semula masjid,“ kata sumber.

Kedua-dua suspek ditahan antara pukul 7 hingga 8 malam selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau turut menyatakan kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat.

Sebelum ini, lima individu termasuk seorang jurutera PBT telah direman tujuh hari sehingga 29 Julai bagi membantu siasatan kes yang sama. – Bernama