IPOH: Dua pemandu lori maut akibat tersepit di dalam kenderaan mereka dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dekat Gopeng di sini pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kemalangan itu membabitkan tiga lori dan empat kereta.

“Dua lelaki masing-masing pemandu lori muatan gula dan muatan barang logam tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, kedua-dua mayat telah dikeluarkan dan dihantar kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam kenyataan.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan trafik sepanjang beberapa kilometer dari kedua-dua arah lebuh raya itu, dengan tumpahan muatan gula daripada lori terbabit memenuhi kawasan sekitar kejadian. Kerja-kerja pembersihan pada masa ini giat dijalankan.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad melalui akaun X memaklumkan trafik di lokasi kejadian tidak bergerak.

“Sila keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai (arah ke selatan) dan Plaza Tol Gopeng (arah ke utara). Trafik sesak di Plaza Tol Gopeng dan Simpang Pulai, sila rancang perjalanan anda,“ menurut hantaran media sosial itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata hasil siasatan mendapati kemalangan maut itu berpunca daripada lori membawa muatan gula yang hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan lori terbabit bertembung dengan sebuah lori muatan barang logam. Dalam kejadian sama, lima kenderaan lain turut terlibat kemalangan di laluan sama.

“Semakan terhadap treler jenis HINO (bawa muatan gula) itu mendapati ada dua rekod lampau saman trafik,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang telah menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada kami untuk membantu siasatan,” katanya. - Bernama

Open Two Websites with Image

Clickable Image