PASIR MAS: Dua daripada enam rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan di Thailand atas kesalahan berkaitan dadah, termasuk penyanyi dikir barat Eda Ezrin, telah pulang ke Malaysia petang tadi.
Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan bersama Nur Aida Mamat, 33, kini berada di bawah siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata empat lagi individu masih berada di Thailand menunggu proses pengaktifan pasport sebelum dibawa pulang.
“Kesemua mereka sedang diambil keterangan oleh pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan lanjut,“ katanya kepada Bernama.
Empat individu yang masih di Thailand ialah Eridieka Mohd Noor, 33; Zuhaira Nasrin; suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35; dan Mohamad Alif Deraman, 33.
Bapa Eda Ezrin, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, meluahkan rasa syukur atas kepulangan anaknya.
“Alhamdulillah, akhirnya kerinduan terhadap Eda terubat juga. Saya hanya mahu bersyukur kepada Allah. Kalau dia bersalah, hukumlah saya sebagai ayah. Tapi kalau dia tak bersalah, kembalikanlah dia kepada kami,“ katanya.
Ahli keluarga Eda turut menanti proses pelepasan beliau di Balai Polis Rantau Panjang.
Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan Eda dan lima individu lain pagi tadi selepas pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti untuk rayuan.
Keenam-enam mereka ditahan pada 1 November lalu atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba.
Permohonan pendakwa untuk melanjutkan tempoh rayuan buat kali keenam juga ditolak mahkamah pada Rabu.
Eda dan Nur Aida dibawa keluar dari Sungai Golok, Narathiwat menggunakan van imigresen Thailand kira-kira pukul 7 malam. – Bernama