• 2025-06-29 08:05 PM

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing ditahan polis selepas didakwa terlibat dalam pergaduhan dan menyamar sebagai penjawat awam di Jalan Dinar, Taman Subang Perdana, Kampung Baru Subang, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor, kejadian dilaporkan pada 1.15 tengah hari semalam.

Pasukan polis peronda yang tiba di lokasi berjaya menahan kedua-dua suspek berumur 26 dan 32 tahun. Seorang daripada mereka ditemui dalam keadaan tangan bergari di dalam kereta.

“Siasatan awal menunjukkan pergaduhan ini berpunca daripada perselisihan faham berkaitan hal keluarga,“ jelas Mohd Hafiz.

Polis merampas dua kereta jenis Perodua dan sepasang gari sebagai bukti siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 160 dan 170 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan menyamar penjawat awam, serta Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Balai Polis Kampung Baru Subang di talian 03-7846 2322 atau Insp Ekmal Hasif Mohd Noor di 011-35396787.