BATU PAHAT: Dua warga emas maut selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 5 1/2 Jalan Yong Peng pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi mengenai kejadian tersebut.
Enam anggota bomba bersama satu jentera Fire Rescue Tender segera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Pasukan penyelamat mendapati berlaku kemalangan antara kereta Proton Saga dengan lori Nissan 17 tan di lokasi tersebut.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Rosli Mohamed berusia 60 tahun dan Mohd Salleh Lamisza berusia 63 tahun.
Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta yang terlibat dalam kemalangan itu.
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan proses seterusnya.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.22 pagi setelah semua kerja-kerja selesai dilaksanakan.
Pemandu lori berusia 46 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. – Bernama