TANGKAK: Polis menahan dua lelaki warga Myanmar dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan memproses arak tiruan dalam serbuan di tiga lokasi di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah kedai pada 1.24 pagi, pihaknya merampas sebuah mesin penutup botol, tujuh tong berisi pati arak dan 322 botol minuman keras pelbagai jenama dan saiz.

Beliau berkata penahanan suspek berusia 30 dan 31 tahun itu telah membawa serbuan ke lokasi berikutnya di sebuah stor dalam kawasan kebun di Sagil di sini dengan 1,372 botol arak pelbagai jenama dan saiz dirampas.

“Turut dirampas 480 karton rokok kretek dan 731 karton rokok putih pelbagai jenama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di sini hari ini.

Roslan berkata dalam serbuan di sebuah lagi stor yang merupakan lokasi ketiga, polis merampas 1,167 botol arak pelbagai jenama dan saiz dengan nilai RM26,243.68 berserta rokok bernilai RM86,240.72.

“Kesemua arak itu dipercayai untuk pasaran tempatan manakala rokok yang disyaki dibawa masuk dari negara jiran juga untuk dijual di sekitar daerah ini.

“Siasatan kes berkenaan dilakukan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.