KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berlangsung selama sehari pada 7 Julai ini.
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata persidangan itu dipanggil susulan permintaan daripada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di bawah Peraturan Mesyuarat 8(3).
“Berikutan permintaan berkenaan, saya telah mengeluarkan notis memanggil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk persidangan pada 7 Julai.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang rang undang-undang berkaitan persidangan ini. Sebaik sahaja saya menerimanya, saya akan mengadakan sidang media untuk memberi taklimat mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Parlimen Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak di sini hari ini.
Mohamad Asfia berkata persidangan sehari itu dijadual berlangsung dari 9 pagi hingga 6.30 petang dan boleh dilanjutkan jika perlu.