• 2025-10-10 04:48 PM

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan antara empat hingga 4.8 peratus tahun ini dan antara empat hingga 4.5 peratus pada 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan prestasi pertumbuhan ekonomi untuk separuh pertama tahun ini berkembang sebanyak 4.4 peratus.

Pertumbuhan ini mengatasi banyak negara serantau yang turut merasai bahang kejutan tarif.

Pertumbuhan ekonomi juga bersifat menyeluruh dengan isi rumah kekal berbelanja dengan yakin.

Pelaburan awam dan swasta terus meningkat manakala sektor pelancongan terus rancak dan aktiviti pembinaan giat berjalan.

Kelangsungan hidup rakyat lebih terpelihara dengan kadar pengangguran mencatat paras terendah dalam tempoh sedekad.

Inflasi kekal rendah sementara ringgit muncul antara mata wang paling berdaya tahan di rantau ini.

Walaupun sistem perdagangan global kian perlahan, pengeksport Malaysia tetap menyesuaikan diri sambil mengekalkan pekerjaan dan daya saing.

Mengenai Belanjawan 2026, Anwar berkata ia merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Belanjawan 2026 menandakan peralihan daripada proses reformasi kepada era transformasi dengan pemulihan segera digantikan dengan pembaharuan jangka panjang.

Pelaburan strategik di bawah RMK13 menyantuni dua tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling potensi negara dan menaikkan lantai kesejahteraan rakyat.

Ikhtiar ini dirangka untuk memacu pertumbuhan dan menjulang peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Rakyat boleh menikmati gaji yang lebih baik, peluang mobiliti sosial yang tulen dan mutu kehidupan yang lebih tinggi.

Dengan RMK13, Malaysia akan memperluas kepakaran dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi seperti kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.

Wawasan ini adalah untuk melonjakkan negara ke barisan hadapan pemain teknologi dunia.

Pencapaian daya saing Malaysia meningkat dengan ketara sejak 2024 dengan melonjak 11 anak tangga kepada kedudukan ke-23 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia.

Kerajaan kini berusaha mencapai kedudukan 12 teratas dalam daya saing global menjelang 2033.

Malaysia turut mencatatkan peningkatan dalam skor Indeks Pembangunan Manusia kepada 0.819 pada 2025.

Negara menduduki tangga ke-67 pada peringkat global daripada aspek pembangunan insan.

Pelaburan berterusan dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan serta pengurangan ketidaksamaan terus menjadi keutamaan.

Pada 2024, bahagian pampasan pekerja mencatat 33.6 peratus iaitu di bawah sasaran 45 peratus.

Inisiatif seperti Dasar Gaji Progresif dan peningkatan kemahiran akan terus diberikan keutamaan.

Penyertaan wanita dalam pasaran buruh meningkat daripada 56.2 peratus pada 2023 kepada 56.5 peratus pada 2024.

Pertambahan tersebut didorong oleh faktor perluasan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dengan harga berpatutan serta aturan kerja fleksibel.

Pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan latihan semula turut menyumbang kepada pencapaian kadar penyertaan tenaga buruh wanita.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah kekal di tangga ke-57 dengan skor 50 pada 2024.

Malaysia perlu mencatat skor antara 68 hingga 70 bagi mencapai kedudukan 25 teratas menjelang 2033. – Bernama