• 2025-07-26 09:16 PM

GUA MUSANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meramalkan nilai eksport durian Malaysia akan melebihi RM1.5 bilion pada tahun ini ekoran permintaan kukuh daripada pasaran utama seperti China, Singapura, Hong Kong, dan Kanada.

Menteri KPKM, Mohamad Sabu, berkata nilai eksport durian telah meningkat sebanyak 256.3 peratus atau RM822.8 juta dalam tempoh lima tahun, daripada RM321.2 juta pada 2018 kepada RM1.14 bilion pada 2022.

“Peningkatan ini membuktikan potensi besar durian sebagai komoditi agromakanan bernilai tinggi yang bukan sahaja memberi pulangan besar kepada negara malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat,“ katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Pesta Durian 2025 di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang.

Beliau menekankan bahawa promosi durian melalui pesta dan program seumpamanya penting untuk merangsang pertumbuhan sektor pertanian bernilai tinggi serta mewujudkan rantaian nilai yang melibatkan pekebun, logistik, peruncit, industri pemprosesan, dan pelancongan.

Menurut laporan pasaran durian segar global oleh Mordor Intelligence (2024), nilai pasaran durian dunia dijangka mencecah lebih USD10.78 bilion pada 2025 dan meningkat kepada USD16.89 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.4 peratus.

China kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan ini, menyumbang lebih 90 peratus daripada jumlah import durian di Asia Pasifik.

“Pada 19 Jun 2024, Malaysia berjaya memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar ke China, membuka akses pasaran baharu bagi eksport durian segar dari Malaysia,“ jelas Mohamad.

Sebelum ini, eksport durian ke China hanya terhad kepada bentuk ulas dan pes pada 2011, serta durian sejuk beku dalam bentuk biji pada 2018. - Bernama