SEREMBAN: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Jalan Felda Jelai Gemas Tampin di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddein Sariman berkata sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tampin menahan suspek berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun itu pada kira-kira 11 malam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua mereka merupakan penganggur dan dalam perjalanan dari Port Dickson ke Gemas untuk melakukan aktiviti menjual dadah di sekitar kawasan itu.

“Bertindak atas maklumat, kami menahan tiga lelaki dan seorang perempuan menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX di tepi jalan Felda Jelai, Gemas.

“Hasil pemeriksaan kenderaan dinaiki oleh kesemua suspek telah menjumpai dua peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin 120 gram dan satu peket plastik lut sinar disyaki syabu 2.50 gram dengan anggaran nilai rampasan dadah RM3,275,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan urin mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis metamfetamina dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan pengedaran dan penagihan dadah.

Kesemua mereka kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39b, 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.