Your Title

TASEK GELUGOR: Polis sedang mengesan empat lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes menyerang dan menetak seorang lelaki warga Myanmar hingga maut di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada seorang lelaki tempatan pada 3.20 pagi memaklumkan empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang telah menyerang seorang lelaki Myanmar, yang juga pekerja restoran terbabit.

“Siasatan awal mendapati empat lelaki itu memakai topi dan penutup muka, bersenjatakan parang serta menaiki sebuah kereta warna gelap.

“Suspek kemudian turun dari kenderaan dan terus menyerang mangsa yang ketika itu sedang bekerja di restoran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa dikatakan cuba melarikan diri, namun dikejar suspek yang kemudian menetaknya beberapa kali pada bahagian kepala, tangan dan badan sebelum rebah.

Anuar berkata kesemua suspek melarikan diri menggunakan kenderaan sama, manakala pegawai perubatan Hospital Kepala Batas (HKB) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa yang berusia 38 tahun telah meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Terdapat kesan tetakan pada bahagian lengan belakang tangan kanan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan si mati,” katanya

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik HKB untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Shuheri Abdul Rani menerusi talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.