ALOR GAJAH: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka setakat ini telah memilih enam guru dalam saringan awal bagi projek rintis guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Autisme di negeri itu yang dijangka bermula awal tahun depan.

Pengarah Kemas Melaka Asri Saleh berkata pihaknya masih lagi melakukan pemilihan guru berkelayakan terutama dalam kalangan pemegang ijazah pendidikan kanak-kanak dan pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas bagi tujuan itu.

“Saya mengakui jumlah guru ini sebenarnya masih tidak cukup dan sudah tentu kita akan melipatgandakan bilangannya pada saban tahun,“ katanya kepada pemberita pada majlis perasmian penutup Hari Potensi Tabika Kemas dan Karnival Digital Kanak-Kanak Sihat dan Pintar Negeri Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga sedang dalam proses menyiapkan satu kertas kerja komprehensif merangkumi aspek belanjawan, penyediaan guru dan persiapan Tabika yang akan menerima kanak-kanak Autisme.

Menurut Asri, Kemas Melaka telah mengenal pasti tiga lokasi di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah bagi memudahkan akses masyarakat kepada Tabika Autisme berkenaan.

Sebelum ini, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor berkata Melaka akan menjadi negeri perintis kewujudan Tabika Autisme di bawah Kemas.

Terdahulu, 273 kanak-kanak Tabika Kemas dari seluruh Melaka menyertai program Hari Potensi Tabika Kemas yang bertujuan mencungkil bakat, memupuk nilai murni, membentuk keyakinan diri dan membina kecergasan mental dan ketangkasan fizikal serta mengasah kreativiti kanak-kanak prasekolah.