GEORGE TOWN: Sebanyak 29 pekerja kilang mengalami detik cemas dan enam daripadanya cedera selepas bas kilang yang mereka naiki terbabas di selekoh berbukit di Jalan Paya Terubong, Air Itam di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.24 pagi.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong yang ke lokasi mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas kilang membawa pekerja kilang terbabas di selekoh jalan raya yang berbukit.
Terdapat 30 penumpang termasuk pemandu di dalam bas itu dan enam pekerja cedera ringan, manakala yang lain selamat, pihak bomba sedang menjalankan kerja-kerja penyelamatan.
Operasi penyelamatan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan mereka yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. – Bernama