KUALA LUMPUR: Menganggap wartawan sebagai sampah, biadab, bertanya soalan-soalan “puaka” dan tidak beretika, antara komen netizen yang mengikuti laporan dan berita berkaitan kemalangan ngeri membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lepas.
Bagi mereka, wartawan atau pengamal media sepatutnya lebih sensitif dengan perasaan ahli keluarga mangsa dalam melaporkan berita nahas yang mengorbankan 15 bakal pendidik itu, termasuk ketika mengajukan soalan kepada waris.
“Sangat setuju. Selalu sangat wartawan mengambil kesempatan ketika keluarga masih berduka”, “Masing-masing takde (tiada) etika, takde adab” dan “Wartawan zaman sekarang ramai yang tak ada empati. Tau kejar headline je”, antara petikan ulasan netizen yang dikutip dari media sosial.
Akan tetapi, benarkah pengamal media tidak ada empati, tidak beretika dan tidak ada adab ketika bertugas?
KONTEKS KOMUNIKASI MEDIA
Menguliti realiti industri media, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya Dr Mohd Hafiz Faizal Mohamad Kamil berkata wartawan bertugas di bawah tekanan masa demi memenuhi keperluan audiens yang mahukan maklumat secepat mungkin.
Namun kata beliau tuntutan itu bukan “lesen” untuk pengamal media mengabaikan etika kewartawanan yang diterapkan oleh industri.
“Etika kewartawanan berlandaskan prinsip ketepatan fakta, kebertanggungjawaban, keadilan dan keprihatinan terhadap kesan laporan kepada subjek dan masyarakat.
“Dalam laporan kemalangan, wartawan perlu memastikan bahawa segala maklumat yang disiarkan telah disahkan, tidak menyentuh sensitiviti waris dan tidak menambah beban emosi kepada pihak terlibat. Ini termasuk mengelakkan penggunaan tajuk berita bersifat sensasi, tidak menyiarkan gambar tanpa kebenaran dan tidak memaksa waris untuk ditemu bual dalam keadaan mereka masih trauma,“ katanya kepada Bernama.
Mentakrifkan komunikasi media sebagai proses menyebarkan fakta, maklumat dan naratif secara sistematik kepada masyarakat melalui pelbagai saluran seperti televisyen, akhbar, portal berita digital dan media sosial, pakar itu berkata tugas wartawan bukan sekadar memberitahu apa yang berlaku tetapi juga membina kefahaman dan respons sosial terhadap sesuatu isu.
Bagaimanapun dalam era dunia digital hari ini, penyampaian maklumat juga sangat bergantung pada reka bentuk antara muka dan bagaimana pengguna berinteraksi dengan platform berita tersebut.
“Sebagai penyelidik dalam bidang ini saya melihat pengalaman khalayak terhadap kandungan berita bukan hanya dipengaruhi oleh kandungan tetapi cara berita dipersembahkan, termasuk pemilihan tajuk, visual, susun atur dan fungsi seperti autoplay video.
“Sekiranya unsur-unsur ini tidak direka bentuk secara beretika, ia boleh menjejaskan kesejahteraan emosi pengguna terutamanya dalam situasi tragedi seperti kemalangan bas UPSI,“ jelasnya.
KEWARTAWANAN ERA DIGITAL
Secara umumnya kata Mohd Hafiz Faizal, media arus perdana di Malaysia seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro Awani masih mematuhi prinsip etika kewartawanan yang telah ditetapkan oleh Majlis Media Malaysia dan Institut Akhbar Malaysia.
Menurutnya, agensi media berkenaan lazimnya akan mendapatkan pengesahan fakta daripada pihak berwajib selain sentiasa berhati-hati dalam pelaporan sebarang berita agar tidak mengganggu ketenteraman awam.
“Namun begitu, dalam dunia digital yang sangat kompetitif, kita melihat sesetengah laporan oleh portal berita baharu atau pengamal media yang mungkin kurang pengalaman berserta proses editorial kurang ketat, mewujudkan isu laporan berita yang tidak peka atau sensitif kepada emosi masyarakat.
“Untuk itu, pematuhan kepada etika kewartawanan ini perlu diperkukuh dengan kawalan editorial serta latihan profesional yang berterusan,“ katanya.
Beliau berkata dalam konteks pelaporan berita tragedi seperti pelajar UPSI itu, selain melaporkan kejadian, institusi media seharusnya memfokuskan pada naratif yang membina seperti semangat kebersamaan dan penghormatan kepada mangsa.
“Namun begitu, tidak semua media berbuat demikian. Ada yang tergesa-gesa melaporkan tanpa pertimbangan menyeluruh. Hal ini menunjukkan perlunya penyeragaman amalan pelaporan tragedi dalam industri media supaya sensitiviti terhadap keluarga mangsa sentiasa dijadikan keutamaan,“ katanya.
“TRAUMA-INFORMED REPORTING”
Dalam situasi krisis atau tragedi, Mohd Hafiz Faizal berkata antara pendekatan terbaik ialah mengamalkan pelaporan yang berasaskan trauma atau “trauma-informed reporting”.
Katanya pendekatan berkenaan menggalakkan wartawan berempati, mengenal pasti keadaan emosi mangsa atau waris sebelum membuat temu bual, serta mengelak bertanyakan soalan yang boleh mengundang tekanan tambahan.
“Dari sudut komunikasi digital, reka bentuk persembahan berita boleh mempengaruhi pengalaman pengguna. Sebagai contoh, autoplay video tragedi atau susunan berita yang memaparkan visual menyayat hati di halaman utama, boleh memberi kesan negatif kepada pengguna yang tidak bersedia secara emosi.
“Dalam hal ini pendekatan reka bentuk yang lebih mesra pengguna dan sensitif terhadap konteks diperlukan agar masyarakat dapat menerima maklumat dengan lebih tertib tanpa menambah trauma. Maka, peranan pengamal media bukan sekadar menghasilkan laporan tetapi perlu mempertimbangkan cara laporan itu dialami oleh khalayak digital,“ katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz Faizal berkata dari sudut kaca mata beliau sebagai pensyarah dan penyelidik dalam bidang komunikasi media, interaksi manusia-komputer dan etika digital memainkan peranan dan memegang tanggungjawab bersama dalam memastikan laporan tragedi disampaikan secara beradab dan berempati.
“Media perlu memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang bertanggungjawab dan memahami realiti emosi mangsa manakala masyarakat pula harus menjadi pengguna maklumat yang bijak, tidak menyebarkan semula kandungan sensitif serta menghormati ruang privasi orang lain.
“Dalam ekosistem digital yang semakin terbuka, pengawalan etika bukan hanya tanggungjawab individu, wartawan atau organisasi media, tetapi juga pembangun sistem, penyedia platform dan pengguna itu sendiri. Maka pemerkasaan etika komunikasi perlu dilihat secara menyeluruh – meliputi kandungan, reka bentuk sistem dan literasi masyarakat,“ tegasnya.
TETAP HORMATI ETIKA
Sudah mangli dengan pelbagai kecaman dan tuduhan dilontarkan oleh masyarakat terhadap kerjaya wartawan, Penolong Pengarang Berita/Online di akhbar KOSMO ! Muhammad Firdaus Hassan berkata petugas media sentiasa profesional dalam menjalankan tugas mereka, bersandarkan etika kewartawanan.
“Orang ramai perlu faham skop tugas wartawan dan apakah etika yang diamalkan warga media. Etika kewartawanan merujuk prinsip dan garis panduan moral yang harus dipatuhi oleh pemberita dalam menjalankan tugas mereka bagi memastikan laporan yang disampaikan itu benar, adil dan bertanggungjawab.
“Dalam pelaporan yang dibuat semasa tragedi bas UPSI tersebut, saya berpendapat petugas media menghormati privasi subjek (keluarga mangsa) ketika ditemu bual dan tidak hanya semata-mata mencari tajuk berita sensasi. Adalah menjadi amalan biasa warga media mendapatkan sumber sahih, iaitu ahli keluarga mangsa untuk sebarang penerbitan berita,“ katanya.
Sepanjang 16 tahun kariernya, Firdaus, 39, turut membuat liputan pelbagai tragedi antaranya insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah; kes pembunuhan kejam melibatkan usahawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya; tragedi bot karam Giam Bungan di Sarawak; kes serangan buaya di Sarawak serta beberapa kemalangan ngeri di Perak.
Katanya memang lumrah akan wujud segelintir audiens yang tidak berpuas hati dengan cara petugas media menjalankan tanggungjawab mereka, namun kata bekas wartawan jenayah itu, menemu bual mangsa atau waris adalah prosedur biasa bagi mendapatkan futej dan bahan berita.
“Sebelum sebarang temu bual, ahli keluarga (mangsa) lazimnya akan diberitahu soalan-soalan yang bakal ditanya. Malah, ahli keluarga boleh menolak atau hanya menjawab soalan perlu sahaja,“ katanya.
Tambah beliau lagi, wartawan juga terikat dengan prinsip tidak mengubah, memutar belit atau mencipta fakta, seiring dengan etika kewartawanan yang berpaksikan kebenaran.
“Malah wartawan juga mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan kepentingan awam,” tegas beliau, dan menambah media di Malaysia sangat menekankan prinsip menghormati privasi serta hak-hak individu dengan tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi tanpa kebenaran.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat agar cuba memahami tugas kewartawanan dalam melaporkan sesuatu berita, kerana kelompok ini turut berdepan cabaran dan kekangan tersendiri dalam menyampaikan maklumat sepantas mungkin kepada masyarakat.
“Masyarakat hanya melihat hasil akhir (berita yang dilaporkan) tanpa memahami realiti di sebalik kerja seorang wartawan dan cabaran yang mereka hadapi. Justeru, masyarakat perlu faham tentang tugas kewartawanan supaya dapat menilai berita dengan lebih adil dan kritikal.
“Dalam era digital ini, wartawan kadangkala hanya diberi masa beberapa jam atau minit untuk menyusun laporan yang kompleks. Adakalanya kesilapan berlaku, bukan kerana niat jahat tetapi dek kekangan masa dan tekanan editorial,“ jelasnya.
ADA BUDI BICARA
Sementara itu, jurugambar akhbar the Sun Masry Che Ani, 50, menyifatkan cabaran dihadapi jurufoto sememangnya besar kerana bukan sahaja berdepan dengan situasi ngeri seperti mayat bergelimpangan dan mangsa cedera parah, malah turut perlu bersemuka dengan pihak berkuasa yang adakala menyukarkan tugas pengamal media.
“Dalam melakukan tugasan, kami tetap berpegang pada etika, menghormati mangsa dan keluarga. Perlu ada cara, iaitu datang dengan berbudi bahasa, insya-Allah mereka sendiri sudi untuk ditemu ramah dan dirakam gambarnya.
“Jangan datang dengan cara berlagak sombong, sebaliknya hadir sebagai rakyat yang turut bersimpati, “ katanya yang telah 30 tahun berkhidmat dalam industri media.
Berkongsi pengalaman pernah melihat pengamal media tertentu dimarahi oleh keluarga mangsa yang kemudian melayan wakil media lain dengan baik, beliau berkata semua itu terletak pada cara pemberita mendekati sumber berita.
“Lagi satu, jika gambar terlalu sensitif tidak perlu rakam. Bab sensitiviti memang perlu dihormati, jika mereka tidak izinkan kena akur. Zaman sekarang generasi baharu adakalanya mereka tidak peka dengan keadaan semasa terutama melibatkan hal sensitif,“ ujarnya.
Kisah Masry pernah tular di media sosial kerana ketangkasannya menyelamatkan seorang wanita daripada terjun di Jambatan Pulau Pinang tiga tahun lalu dan seterusnya meraih pujian masyarakat.
Menurutnya, jika diikutkan tugasnya sebagai jurugambar, insiden itu ialah peluang keemasan untuk menjadi tajuk utama eksklusif, namun beliau memilih menyelamatkan nyawa wanita berkenaan.
“Kejadian berlaku depan mata ketika saya dalam perjalanan ke tempat tugasan dan ternampak seorang wanita mahu terjun jambatan. Waktu itu saya cuma fikir hendak selamatkan nyawa orang sahaja daripada mengambil gambar,“ katanya. - Bernama