PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri Pendidikan anjuran Pertubuhan Negara Islam Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) Oman yang berlangsung di Muscat, Oman selama dua hari bermula hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan Fadhlina akan menyampaikan kenyataan negara dalam persidangan tersebut, dengan memberi tumpuan bagi memastikan pendidikan berkualiti yang menjadi teras pembangunan lestari.
Menurut KPM, Fadhlina akan berkongsi amalan dan pengalaman Malaysia dalam memperkasakan pendidikan digital serta bidang kecerdasan buatan (AI).
Kenyataan itu memaklumkan, Fadhlina dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan termasuk dengan Ketua Pengarah ICESCO Dr Salem Mohammed Al-Malik dan ketua perwakilan negara anggota untuk bertukar pandangan berkaitan kerjasama di bawah inisiatif ICESCO dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Persidangan yang melibatkan penyertaan menteri pendidikan dan delegasi dari 27 negara anggota ICESCO itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Oman dan Suruhanjaya Pendidikan, Budaya dan Sains Oman.
Tujuan penganjuran persidangan adalah untuk memperkukuh komitmen dalam mentransformasi pendidikan, merapatkan jalinan dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan.