• 2025-09-25 01:59 PM

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari ASEAN dalam masa terdekat untuk membuka peluang yang lebih luas bagi membolehkan filem Malaysia menembusi pasaran serantau.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu usaha memperkukuh kedudukan filem tempatan di pasaran antarabangsa dipergiat.

“Perdana Menteri telah mengarahkan saya untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di negara-negara ASEAN untuk memastikan bahawa filem-filem Malaysia terutamanya boleh pergi jauh.

“Saya akan minta supaya pihak kementerian susuli (perkara ini) dan kita akan adakan pertemuan, perbincangan,“ katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata antara perkara yang akan diketengah pada pertemuan itu ialah isu yang dihadapi oleh penerbit dan pengedar filem selain cara untuk mempermudah serta melicinkan proses kemasukan filem Malaysia ke negara ASEAN lain.

“Apakah mungkin untuk satu filem yang kita hantar, mungkin di pihak negara ASEAN juga mereka ingin menghantar filem ke Malaysia.

“Jadi, kita akan bincang walaupun terdapat aspek ekonomi dan aspek pasaran bebas tetapi pada masa sama, kita mungkin ingin usahakan beberapa filem untuk dihantar keluar,“ katanya.

Mengulas mengenai sokongan kerajaan terhadap industri kreatif, beliau berkata sebanyak RM31 juta diperuntuk di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang merangkumi 11 skim utama.

Fahmi berkata setakat ini, sebanyak 116 penerbitan telah direalisasikan menerusi dana berkenaan sekali gus mencipta lebih 2,600 peluang pekerjaan.

“Baru-baru ini, filem The Fox King arahan Woo Ming Jin yang menerima sokongan DKK berjaya mengharumkan nama negara di Festival Filem Antarabangsa Toronto yang ke-50 dan Festival Filem Busan.

“Jadi, saya percaya ini adalah usaha yang baik dan perlu kita tingkatkan,“ katanya - Bernama