KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan menjalankan siasatan terperinci berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio milik Astro, yang dilihat mempersendakan upacara agama lain dan dimuat naik di platform media sosial pagi tadi.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini termasuklah memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC, bagi memberikan penjelasan penuh.
“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio berkenaan.
Hari ini tular di media sosial tindakan penyampai radio di sebuah stesen milik Astro yang dilihat melakukan tindakan seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.
Tiga penyampai radio itu kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.