KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memastikan tiada gangguan terhadap siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata demikian susulan penyebaran meluas pelbagai kandungan tidak sahih di media sosial berkaitan kes tersebut.
“Ini satu peringatan, jangan sebar kandungan yang tidak disahkan. Kita perlu berwaspada. Banyak maklumat yang diterima melalui media sosial kadangkala tidak dapat dipastikan ketulenannya, sama ada ‘genuine’ ataupun dihasilkan oleh AI dan sebagainya.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan Jabatan Peguam Negara (AGC). Kita perlu menaruh kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tugas secara adil dan saksama, tanpa melindungi sesiapa,” katanya kepada pemberita pada Program PENTARAMA Homecoming dan PENTARAMA X Kelab Malaysiaku sempena Hari Kebangsaan dan Malaysia (HKHM) 2025 di Sekolah Kebangsaan Bangsar di sini hari ini.
Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memberi jaminan bahawa tiada sesiapa akan dilindungi, dan mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam kes itu akan dibawa ke muka pengadilan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar terbabit dibawa ke hospital selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.
Siasatan kes tersebut kini sedang dilengkapkan oleh PDRM selepas dipulangkan semula oleh AGC pada Selasa - BERNAMA