• 2025-07-06 09:13 PM

BALIK PULAU: Bekas penjaga gol legenda Pulau Pinang, Firos Mohamed, yang meninggal dunia selepas rebah semasa perlawanan bola sepak malam tadi, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan termasuk penyakit jantung.

Isterinya, Fildaanis Mat, 51, berkata suaminya yang berusia 53 tahun itu aktif dalam sukan bola sepak dan berkhidmat sebagai jurulatih penjaga gol di Akademi Bola Sepak Pulau Pinang.

“Kami sekeluarga bersama arwah semalam untuk menyaksikan perlawanannya. Rancangan asal hari ini kami akan hantar anak bongsu, Mohamad Fairiel Danish, ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Bangi bagi pengajian dalam bidang pengurusan sukan,“ katanya.

Menurut Fildaanis, Firos kelihatan bersemangat sebelum perlawanan dan tidak menunjukkan tanda-tanda kesihatan terganggu.

“Dia rebah dua minit sebelum perlawanan tamat,“ ujarnya.

Jenazah Firos disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah, Sungai Batu selepas solat jenazah di Surau Kampung Melayu, Air Itam.

Lebih 100 orang hadir memberi penghormatan terakhir.

Anak bongsunya, Mohamad Fairiel Danish, berkata walaupun sedih, dia akan teruskan pelajaran demi cita-cita menjadi guru sukan.

“Ayah sangat gembira apabila tahu saya akan belajar dalam bidang ini,“ katanya.

Mohd Azmi Ali, pengurus pasukan Ex-Penang, mengenang Firos sebagai penjaga gol terbaik negeri itu dan pernah mewakili Malaysia dalam latihan bersama Kelab Barcelona pada 1980-an. – Bernama