• 2025-09-23 08:08 PM

KUALA LUMPUR: Pelayaran fasa kedua konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki hari kelima dengan 38 bot kini menghampiri Perairan Greece sebelum menuju Zon Kuning kira-kira 300 batu nautika dari Pantai Gaza.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi itu melaporkan flotila semakin hampir dengan laluan kritikal yang ditetapkan pihak penganjur setakat jam 8.45 pagi waktu Laut Mediterranean.

“Selepas ini kita akan memasuki perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum menuju Zon Merah yang berada 100 batu nautika dari pantai Gaza,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengingatkan setiap peserta perlu lebih bersiap siaga sebaik flotila memasuki zon terbabit berikutan kemungkinan berdepan gangguan internet serta ancaman dron pengintip.

Dua dron dipercayai milik pihak pemerhati atau dari Israel dilihat berlegar berhampiran bot Fair Lady yang dinaiki Tuan Asri bersama aktivis Nurharahin Romli pada malam sebelumnya.

Bot-bot dalam flotila bergerak perlahan pagi ini kerana keadaan laut yang tenang tanpa angin sambil mengambil peluang melakukan kerja pembersihan dan membaiki kerosakan.

Pelayaran GSF membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan itu dijadual tiba di perairan Gaza hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Misi keamanan GSF diharap mampu menarik perhatian kerajaan seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga genosid terhadap Gaza dihentikan.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penaung Sumud Nusantara melibatkan lapan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

Anwar menerusi hantaran Facebook semalam menzahirkan doa masyarakat Malaysia bagi mengiringi misi yang diharap dapat membawa sinar harapan kepada penduduk Gaza. – Bernama