• 2025-07-07 05:57 PM

JOHOR BAHRU: Lebih 30,000 akaun pengguna di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru termasuk Tebrau bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 26 jam berikutan kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang bermula 15 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd Anuar Abdul Ghani menjelaskan kerja baik pulih ini melibatkan semua instrumen penting di loji tersebut bagi memastikan sistem rawatan air lebih stabil untuk jangka masa panjang.

“Pengguna dinasihatkan menyimpan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan dan menggunakannya secara berhemat.

Lori tangki turut disediakan untuk keperluan premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,“ katanya dalam kenyataan rasmi.

Anuar menegaskan gangguan berjadual ini sebagai langkah proaktif bagi memastikan sistem bekalan air sentiasa optimum dan selamat.

Beliau berharap kerja baik pulih ini akan mengekalkan piawaian kualiti air mengikut garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web Ranhill SAJ atau talian bantuan 1800-88-7474. - Bernama