JOHOR BAHRU: Lebih 30,000 akaun pengguna di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru termasuk Tebrau akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 26 jam bermula hari ini. Gangguan ini berlaku ekoran kerja-kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar di Pasir Gudang.
Kerja-kerja penyelenggaraan ini melibatkan kesemua instrumen penting di loji berkenaan bagi memastikan sistem rawatan air lebih stabil untuk jangka masa panjang. Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd, Anuar Abdul Ghani, berkata pihaknya akan menyediakan lori tangki bagi memenuhi permintaan kecemasan daripada premis penting seperti hospital, pusat dialisis, dan institusi yang memerlukan bekalan air berterusan.
“Gangguan bekalan air berjadual ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan sistem bekalan air berada dalam keadaan optimum dan selamat kepada pengguna,“ jelas Anuar. - Bernama