KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,000 orang daripada pelbagai latar belakang berhimpun di Dataran Merdeka hari ini bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin menerusi Perhimpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza.
Perhimpunan bermula dengan perarakan dari tiga lokasi utama iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Kompleks Sogo sebelum peserta berkumpul di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Semangat peserta tidak luntur meskipun dibasahi hujan sekitar 4 petang dan mereka terus berarak dengan penuh semangat serta mengenakan mafela berwarna bendera Palestin sambil melaungkan ‘Bebaskan Palestin’ dan ‘Undur Israel dari Gaza’.
Acara diteruskan di Dataran Merdeka pada kira-kira 5 petang dengan persembahan pantomin oleh anak-anak warga Palestin diikuti nyanyian serta ucapan daripada pelbagai individu yang hadir.
Peserta turut menunaikan solat maghrib secara berjemaah di lokasi perhimpunan sebelum program anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza yang menghimpunkan 20 pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh negara itu diteruskan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Affendy Sulaiman berkata 400 anggota polis ditugaskan untuk memastikan keselamatan dan kawalan lalu lintas berjalan lancar sepanjang perhimpunan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Setakat 8.30 malam, pihak kami menganggarkan lebih 2,000 peserta hadir menyertai himpunan ini dan keseluruhan perjalanan perhimpunan berlangsung dalam keadaan aman serta terkawal,” katanya ketika dihubungi.- BERNAMA
TAG: Perhimpunan Ma