• 2025-07-19 09:51 PM

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyeru kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera bagi mengatasi gangguan sistem di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang berlarutan lebih 24 jam.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menekankan kepentingan sistem pengoperasian yang cekap dan konsisten di pintu masuk utama negara ini.

“Kelemahan seperti ini bukan sahaja menyusahkan rakyat malah boleh menjejaskan imej negeri dan negara di mata dunia kerana ia merupakan antara pintu masuk utama paling sibuk di rantau ini,“ katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau mengakui walaupun ada sedikit penambahbaikan dalam pengurusan kesesakan, keadaan masih belum memuaskan.

Masalah teknikal yang melibatkan sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing dilaporkan berpunca daripada isu integrasi data dalam sistem MyIMMS.

Gangguan ini turut memberi kesan kepada operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

CIQ BSI yang terletak di pusat bandar Johor Bahru mencatatkan ratusan ribu pergerakan harian, terutamanya bagi laluan ke dan dari Singapura.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang berusaha menyelesaikan masalah ini bagi mengelakkan berulangnya kejadian serupa pada masa depan. - Bernama